APA KAITAN EVEREST TERHADAP MUKA BUMI MALAYSIA ?

Asia
Kredit Gavin Hellier

Gunung Everest merupakan gunung tertinggi di dunia dengan ketinggian 8848 meter dari aras laut. Gunung Everest merupakan salah satu gunung yang membentuk banjaran pergunungan Himalaya di Nepal, India, China, Bhutan dan Pakistan. Namun apakah kaitan semua ini dengan pembentukan muka bumi Malaysia dan Asia Tenggara?

Sebelum itu, mari kita belajar bagaimana pembentukan sesebuah banjaran itu. Bumi ini terdiri daripada beberapa plat tektonik. Setiap masa, plat tektonik ini akan sentiasa bergerak kerana sifat bumi yang dinamik dan proses yang berlaku di dalam bumi seperti perolakan haba dalam lapisan mantel.

7 major plate tectonics
Kredit: Earthhow

Suatu ketika dahulu, plat India dan plat benua Eurasia merupakan dua buah plat berbeza yang terpisah. Proses pergerakan benua (continental drift) selama jutaan tahun telah memaksa plat India untuk bergerak menuju ke utara dan bertembung dengan plat Eurasia. Pertembungan yang dahsyat daripada dua buah plat gergasi ini telah membentuk apa yang kita kenali hari ini sebagai banjaran pergunungan Himalaya. Namun apa kaitannya dengan Malaysia?

illustration of formation of himalaya mount everest
Kredit: Topchinatravel

Sebelum pertembungan tersebut berlaku, orientasi kedudukan Asia Tenggara berada pada kedudukan horizontal dan sedikit ke arah hemisfera utara bumi kita. Apabila pertembungan India dan Eurasia berlaku, orientasi Asia Tenggara berubah serta merta dan bergerak ke arah khatulistiwa dalam pusingan arah jam. Gambar di bawah boleh menjelaskan dengan lebih lanjut.

Kredit: CR Scotese Paleomap project

Jadi apakah signifikannya?

Setelah pertembungan itu berlaku, evolusi tektonik Asia Tenggara berubah sedikit demi sedikit. Beberapa siri sesar terbentuk di Asia Tenggara termasuk Malaysia. Geomorfologi Malaysia juga turut terkait dengan perubahan tektonik Asia Tenggara ini. Sebagai contoh, pembentukan beberapa siri sistem sungai di Malaysia (Hutchinson, 1989a).

Selain itu, pembentukan Malay Basin di Laut Cina Selatan juga berkait rapat dengan evolusi tektonik Asia Tenggara ini. Malay Basin ini sangat terkenal dengan formasi hidrokarbon yang menyumbang kepada pembentukan minyak dan gas yang menjadi industri yang penting kepada ekonomi Malaysia (Mansor et al, 2014).

Jadi, jika sebuah banjaran itu terbentuk hasil pertembungan dua buah plat, bagaimana dengan banjaran Titiwangsa yang menjadi tulang belakang semenanjung Malaysia? Dan apakah kepentingannya terhadap Malaysia? Nantikan artikel akan datang!

Sumber:

Hutchison (2014). Tectonic evolution of Southeast Asia. Bulletin of the Geological Society of Malaysia, Volume 60, December 2014, pp. 1 – 18

Md Yazid Mansor, Abdul Hadi Bin Abd Rahman, David Menier & Manuel Pubellier (2014). Structural Evolution of Malay Basin, its Link to Sunda Block Tectonics. Marine and Petroleum Geology 58

Leave a comment