
Ketika artikel ini ditulis, berlegar di laman sosial prototaip kereta terbang sudah mula dilancarkan dan diterbangkan oleh Japanese electronics giant NEC. Kereta terbang sudah menjadi impian bagi mana-mana negara maju untuk mencapai era futuristik di masa hadapan.
Bayangkan abad yang lalu, kapal terbang hanya sebuah impian yang terlalu besar untuk dicapai oleh manusia ketika itu. Namun lihatlah hari ini, pelbagai rangkaian laluan kapal terbang berlegar di udara kita hari ini.
Jadi kita tidak boleh menolak kemungkinan akan realiti kereta terbang di masa hadapan. Persoalannya, apakah cabaran yang akan menanti?
Cabaran yang pertama sudah pasti soal keselamatan. Bayangkan sahaja kemalangan melibatkan kenderaan di jalan raya sahaja sudah cukup banyak dan mengancam keselamatan pengguna jalan raya. Dan kebanyakan kemalangan yang terjadi hasil daripada kecuaian pemandu sendiri. Bayangkan jika kecuaian melibatkan kereta terbang di udara, lebih tragis bukan?
Namun ada yang mencadangkan supaya kereta terbang dipandu oleh artificial intelligence (AI). Persoalannya, jika berlaku kemalangan hasil masalah teknikal, apakah undang-undang disebaliknya? itu ialah cabaran yang seterusnya.
Manusia tidak dapat lari daripada masalah teknikal kenderaan. Jika kita memandu kenderaan di jalan raya, dan kereta kita mengalami masalah teknikal, kita masih mampu untuk membawa kereta ke bahu jalan. Bagaimana jika kereta itu berada di udara dan berlaku masalah teknikal?
Soal undang-undang juga satu cabaran yang besar. Undang-undang yang efisien dan ketat perlu dikuatkuasakan bagi memastikan pergerakan semua kereta terbang di udara berjalan lancar. Mungkin polis-polis peronda di udara juga syarat yang wajib diwujudkan untuk memastikan keselamatan di udara. Mungkin akan wujud jabatan baru selain JPJ di Malaysia. Dan lesen memandu baru mungkin?
Cabaran yang seterusnya ialah soal masalah persekitaran. Konsep kereta terbang ini sama seperti kereta elektrik, tidak menggunakan petrol atau gas untuk melindungi alam sekitar. Namun sejauh mana alam sekitar terjaga hasil penggunaan kereta terbang yang dikuasakan oleh elektrik ini?
Kebanyakan kenderaan berkonsepkan elektrik menggunakan bateri lithium. Dan bateri lithium ini dihasilkan daripada sumber-sumber perlombongan yang berbahaya kepada alam sekitar. Adakah elektrik itu sudah cukup menggunakan konsep tenaga hijau jika sumbernya datang daripada reaktor nuklear dan loji kuasa arang batu? Penyelesaian yang terbaik ialah sumber elektrik perlu datang dari sumber hijau seperti angin, empangan dan solar.
Banyak cabaran bukan? Namun setiap cabaran itu pasti akan diselesaikan oleh pihak-pihak yang terlibat. Halangan-halangan yang tersebut bukan penghalang untuk sesuatu inovasi sains dan teknologi untuk berkembang dan menjadi realiti. Cuma masa yang menentukan untuk perkembangan sesuatu kemajuan.
Bukan mudah untuk menjadikan idea kereta terbang suatu realiti. Terlalu banyak cabaran yang perlu ditempuh. Namun saya percaya yang impian ini akan terlaksana juga di dunia kita hari ini. Cuma perlaksanaannya akan mengambil tempoh yang begitu lama untuk dipraktikkan. Mungkin cucu cicit kita akan merasa kelak.